Kehidupan peribadi Maria Menado

Perkahwinan dengan Sultan Pahang

Untuk perayaan-perayaan yang istimewa, Maria serta seniwati yang lain akan dijemput ke istana Pahang untuk mempersembahkan pertunjukan, khususnya sewaktu hari keputeraan Sultan. Pada salah satu daripada lawatan ini, Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin melamarnya. Selepas pertimbangan yang mendalam, Maria berkahwin pada tahun 1963 sewaktu berumur 30. Perkahwinan itu bukan sahaja menamatkan kerjaya filemnya tetapi juga menyebabkan filem-filemnya tidak boleh lagi ditayangkan di pawagam atau televisyen. Majlis Diraja Istana Pahang memerintah bahawa oleh sebab Maria merupakan permaisuri Sultan, tayangan filem-filemnya tidak dibenarkan di dalam negeri Pahang. Bagaimanapun, filemnya turut tidak ditayangkan di seluruh negara. Dengan itu, Ho Ah Loke, pemilik Cathay Keris tersangkut dengan filem-filem Maria. Oleh sebab filem-filem itu amat memakan ruang hawa dingin di dalam rumah Ho, dia kemudian terpaksa membuangnya kerana filem-filem itu telah menjadi suatu sumber pergaduhan dengan isterinya.

Selepas kemangkatan Sultan Pahang, Maria berpindah dari Pekan ke Kuala Lumpur. Sewaktu itu, beliau memohon kepada Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang kini yang mengetuai Majlis Diraja Istana Pahang, supaya filem-filemnya dibenarkan ditayangkan semula. Baginda memberikan kebenaran, akan tetapi pada waktu itu, filem-filem yang dilakonnya telah dibuang ke dalam sebuah lombong yang tidak digunakan lagi. Tidaklah diketahui mengapa Ho tidak berjumpa Maria atau muzium-muzium negeri untuk menyumbangkan filem-filem itu. Kehilangan filem-filem tersebut merupakan suatu kerugian yang amat besar, kerugian yang tidak ternilai untuk sejarah filem Malaysia.

Kini, Maria berhasrat untuk menerbit dan mengarah versi baru filem "Pontianak" sebagai gantian supaya dapat meninggalkan tanda pencapaiannya — kali ini dalam filem berwarna.